Monday, August 11, 2008

SIAPA AKU DI DEPAN TUHANKU

SIAPA AKU DI DEPAN TUHANKU

SUBUHNYA...
di mana aku berada?
masih enak dalam kelambu rindu
sambil berpoya-poya dengan waktu.
masa bagaikan menderu
langkah tiada arah tuju .
fikiran terus bercelaru.
terlupa aku semakin dihujung waktu.
siapa aku di depan Tuhanku?

ZOHORNYA...
aku lebih memikirkan kelaparan kehausaan dan rehatku.
aku lebih mementingkan tuntutan jawatanku.
aku bertolak ansur dengan waktu.
aku gembira membilang keuntungan.
aku terlupa betapa besar kerugian
jika aku menggadaikan sebuah ketaatan
siapa aku di depan Tuhanku?

ASARNYA...
aku lupa warna masa cepat berubah
bagaikan ditolak-tolak.
aku masih dengan secawan kopiku.
terlupa panas tidak dihujung kepala.
aku masih bercerita
tentang si Tuah yang setia
dan si Jebat yang derhaka .
siapa aku di depan Tuhanku?


MAGHRIBNYA...
aku melihat warna malam
tetapi aku masih berlegar
di sebalik tabirnya mencari sisa-sisa keseronokan.
tidak terasa ruang masa yang singkat.
jalan yang bertongkat-tongkat.
ruginya bertingkat-tingkat
siapa aku di depan Tuhanku?

ISYAKNYA...
kerana masanya yang panjang
aku membiarkan penat menghimpit dadaku.
aku membiarkan kelesuan menggangguku.
aku rela terlena
sambil menarik selimut biru
bercumbu-cumbu dengan waktuku.
siapa aku di depan Tuhanku?
Kini aku menjadi tertanya-tanya
sampai bila aku akan melambatkan sujudku
apabila azan berkumandang lagi?
aku tidak akan membiarkan
Masjid menjadi sepi
kerana di hujung hidup
akan adanya mati.

No comments: